Followers

Monday 21 November 2011

Kemahiran Membaca


Kemahiran membaca merupakan salah satu daripada empat kemahiran bahasa yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa. Kemahiran membaca adalah lanjutan daripada kemahiran-kemahiran asas seperti mendengar dan bertutur. Melalui pembacaan, seseorang itu mampu menimba ilmu pengetahuan yang tidak dapat diperolehi menerusi pengalaman-pengalaman biasa yang lain. Membaca dapat membantu memperluaskan pemikiran dan idea serta meningkatkan daya kreatif seseorang individu dalam pelbagai bidang.
Membaca ialah proses kebalikan daripada proses menulis. Proses membaca memerlukan seseorang itu menterjemahkan kembali lambang-lambang bertulis kepada lambang-lambang bunyi yang hendak disampaikan oleh penulisnya. Membaca berbeza daripada mendengar kerana ia melibatkan kedua-dua aktiviti verbal dan literasi secara serentak. Apabila kita membaca kita akan menghuraikan bahan bercetak kepada pertuturan dan pada masa yang sama kita akan menghuraikan pertuturan itu kepada pemikiran.

Kebolehan membaca sangat penting dan ia merupakan satu ukuran kejayaan pelajar-pelajar di sekolah. Ini kerana kebolehan membaca dianggap sebagai asas bagi mencapai semua kejayaan dalam semua bidang, terutama dalam bidang pendidikan. Kemahiran membaca ditekankan pada peringkat awal lagi bersama kemahiran lain seperti mengira dan menulis. Kebolehan membaca bukan sahaja dianggap sebagai asas utama bagi mencapai kejayaan dalam bidang ekonomi dan sosial, malah sistem persekolahan itu sendiri menganggapnya sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.

Membaca dimaksudkan sebagai proses memperoleh tafsiran yang bermakna ke atas lambang-lambang bercetak dan bertuli. Proses membaca juga dikatakan sebagai keupayaan seseorang itu mengecam bentuk visual dan menghubungkan bentuk itu dengan bunyi ataupun makna yang diketahui melalui pengalaman dan akhirnya berupaya mentafsirkan maksudnya.

Membaca adalah proses psikolinguistik yang bermula daripada pembaca mengamati perkataan yang terdapat dalam teks yang dibaca sehinggalah terbentuknya makna berdasarkan pengamatan yang dilakukan. Ini menunjukkan melalui proses itu wujud interaksi antara bahasa dengan pemikiran kerana hubungan hubungan antara bahasa dengan pemikiran sememangnya berlaku dalam dimensi yang lebih luas. Kita menggunakan bahasa bagi melahirkan pemikiran yang wujud dalam minda.

 
Jenis peringkat membaca
Terdapat empat jenis peringkat membaca iaitu; 
Bacaan mekanis (bersuara)
  1. Bacaan mentalis / akaliah (kefahaman)
  2. Bacaan intensif (mendalam)
  3. Bacaan ekstensif (meluas)

No comments:

Post a Comment

LAGU

Falsafah Pendidikan

Falsafah Pendidikan sangat penting dalam pendidikan sesebuah negara kerana mengandungi idea dan pandangan yang rasional terhadap pendidikan. Falsafah Pendidikan Kebangasaan menggambarkan hasrat negara untuk menghasilkan insan yang berilmu pengetahuan, bertanggungjawab, berketrampilan, berakhlak mulia, seimbang dan harmonis dari segi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Matlamat

Standard Kurikulum Bahasa Malaysia Sekolah Rendah digubal untuk membolehkan murid berketerampilan dalam berbahasa dan boleh berkomumikasi untuk memenuhi keperluan diri, memperoleh pengetahuan, ilmu, kemahiran, matlamat, nilai dan idea serta hubungan sosial dalam kehidupan harian.




Kurikulum Standard Sekolah Rendah (Bahasa Malaysia Tahun Satu)

Matlamat

Standard Kurikulum Bahasa Malaysia Sekolah Rendah digubalkan untuk membolehkan murid berketrampilan dalam berbahasa dan boleh berkomunikasi untuk memenuhi keperluan diri, memperoleh pengetahuan, ilmu, kemahiran, maklumat, nilai dan idea serta hubungan sosial dalam kehidupan harian.

Objektif

Murid yang mengikuti pengajaran dan pembelajaran Standard Kurikulum Bahasa Malaysia Sekolah Rendah berkeupayaan untuk :

1. mendengar, mengecam, mengajuk dan menentukan arah bunyi persekitaran dengan teliti dan betul;

2. mendengar, memahami, dan menyebut bunyi bahasa iaitu abjad, perkataan, frasa dan ayat yang betul;

3. mendengar, memahami dan memberikan respon berdasarkan arahan, pesanan dan pertanyaan dengan betul;

4. bertutur dan berbual serta menyatakan permintaan tentang sesuatu perkara dalam situasi formal dan tidak formal dengan betul secara bertatasusila;

5. bercerita sesuatu perkara dan menceritakan semula perkara yang didengar menggunakan sebutan yang jelas dan intonasi yang betul;

6. berbicara untuk menyampaikan maklumat tentang sesuatu perkara daripada pelbagai sumber dengan tepat secara bertatasusila;

7. berbincang dan mengemukakan pendapat tentang sesuatu perkara daripada pelbagai sumber secara bertatasusila;

8. membaca pelbagai perkataan, frasa dan ayat secara mekanis dengan sebutan dan intonasi yang betul;

9. membaca, memahami perkataan, frasa dan ayat daripada pelbagai sumber dengan lancar, sebutan yang jelas dan intonasi yang betul;

10. membaca dan memahami maklumat yang tersurat dan tersirat daripada pelbagai bahan untuk memberi respon dengan betul;

11. membaca dan menaakul untuk memindahkan maklumat yang terdapat dalam pelbagai bahan.

12. membaca pelbagai bahan bacaan bagi memperkaya kosa kata dan maklumat untuk memupuk minat membaca;

13. melakukan aktiviti pramenulis dengan betul;

14. menulis secara makanis dengan betul dan kemas;

15. membina dan menulis perkataan, frasa dan ayat dengan betul;

16. menulis imlak dengan betul;

17. mencatat dan menulis untuk menyampaikan maklumat tentang sesuatu perkara dengan menggunakan bahasa yang santun.

18. menghasilkan penulisan kreatif dalam pelbagai genre dengan betul;

19. mengedit dan memurnikan hasil penulisan;

20. menulis ulasan berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada pelbagai sumber;

21. menggunakan sistem bahasa yang betul dalam pertuturan, pembacaan dan penulisan dan

22. mengharyati dan mengamalkan nilai murni, bersikap positif, semangat patriotik dan kewarganegaraan melalui aktiviti bahasa.